Adakah wajar untuk kita mengambil makanan yang sudah jatuh ke lantai?

Bakteria boleh dijumpai di seluruh tempat dari laut yang dalam sehingga lah udara yang kita hirup pada setiap hari.

– Author of Et Illuminare

Oleh Mohd Amirul Faisal

Situasi dimana makanan terjatuh daripada tangan semasa anda sedang makan kadangkala berlaku. Tetapi ramai daripada kita yang akan terus ambil makanan tersebut walaupun ia telah berada di atas lantai. Ada yang mengatakan bahawa selagi ia tidak melebihi 5 saat selepas sahaja makanan jatuh ke atas lantai, kita boleh ambil dan terus makan tanpa perlu merisaukan apa-apa kesan negatif.

Itu lah Peraturan Lima Saat ataupun “5 second rule” yang sudah dibawa oleh ramai orang termasuklah di laman media sosial. Namun, itu semua hanya mitos semata-mata. Mungkin sebahagian daripada anda sudah berfikir logik bahawa lantai sama yang kita pijak ini mengandungi berbillion bakteria dan mikroorganisma lain. Sudah tentu apa-apa objek mahupun makanan yang menyentuh permukaan lantai akan menerima ketibaan bakteria yang begitu banyak jumlahnya.

Jadi mari kita lihat apakah kebenaran disebalik peraturan ini yang masih diamalkan oleh ramai manusia. Adakah wajar untuk kita mengambil makanan yang baru sahaja jatuh ke atas lantai?

Asal-usul peraturan 5 saat

Mesti anda tertanya-tanya bagaimanakah peraturan tersebut telah tersebar di seluruh lapisan masyarakat serata dunia? Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu kembali ke beratus tahun dahulu dimana empayar yang ditempat di Mongolia diperintah oleh Genghis Khan. Berdasarkan beberapa sumber sahih yang telah dijumpai, para pakar berpendapat bahawa peraturan ini digunakan semasa apa-apa majlis makan yang berlangsung di kawasan kediamannya. Jika makanan terjatuh ke atas lantai,ia dianggap selamat selagi Khan tersebut mengatakan ia adalah selamat untik diambil semula dan dimakan.

Namun hakikatnya, manusia pada zaman dahulu mempunyai ilmu yang cetek mengenai kewujudan mikroorganisma terutamanya jenis-jenis yang boleh membawa penyakit. Jadi ramai daripada mereka menganggap makanan itu boleh dimakan begitu sahaja jika ia sudah terjatuh ke atas permukaan lantai. Asalkan sapu sahaja habuk atau kotoran yang melekat,ia sudah mencukupi.

Ia tidak dianggap taboo sehinggalah berlakunya revolusi sains medik dimana dengan ciptaan mikroskop, kita dapat melihat mikroorganisma dengan lebih jelas.

Illustrasi yang menggambarkan Genghis Khan sedang menaiki takhta pada tahun 1430. (Dari Wikimedia Commons).

Mitos ini dibawa lagi ke zaman sekitar tahun 1995 dan berdasarkan sumber kamus Oxford Bahasa Inggeris, pernyataan berkenaan dengan peraturan ini muncul dalam sebuah novel yang bertajuk “Wanted: Rowing Coach” juga diterbitkan pada tahun yang sama. Novel ini ada menjelaskan tentang peraturan pemakanan ini tetapi yang berbezanya adalah ia merupakan “Peraturan 20 saat”.

Sejak daripada itu, masih ramai lagi yang mempercayainya sehinggalah ahli saintis telah membongkar disebalik mitos tersebut. Setelah mereka menjalankan pelbagai jenis uji kaji berkaitan dengan keupayaan bakteria yang mampu bermigrasi dari apa-apa permukaan ke objek atau makanan yang berada di permukaan yang sama.

Jadi sehingga ke tahap ini, kita sudah tahu bahawa berbillion mikroorganisma boleh bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam masa yang singkat. Persoalan yang lain pula,adakah setiap jenis permukaan akan membawa jumlah mikroorganisma yang sama ataupun disebaliknya?

Permukaan berbeza mengandungi jumlah bakteria berbeza

Untuk menguji persoalan ini, pelbagai jenis uji kaji yang berbeza melibatkan bahan makanan dan juga persekitaran yang berbeza. Sebagai contoh, eksperimen yang telah dilaksanakan oleh sekumpulan ahli saintis (boleh rujuk di sini) membina suatu hipotesis dimana makanan yang diambil selepas 5 saat ia jatuh ke atas lantai akan membawa bakteria yang sedikit berbanding makanan yang diambil selepas 50 saat.

Mereka menggunakan sekeping bologna dan pada masa yang sama membahagikan eksperimen ini kepada beberapa jenis keadaan :

1. Persekitaran tetap/malar
2. Bologna yang tidak pernah jatuh dikultur dalam piring petri.
3. Bologna dijatuhkan ke lantai yang bersih dan kotor untuk peraturan 5 saat dan 50 saat.

Kepingan daripada setiap bologna diambil dan diletakkan juga dalam petri dish dan mereka mengambil data berapa banyak koloni bakteria yang muncul. Eksperimen ini dilakansanakan selama tiga hari.

Bologna digunakan untuk menguji hipotesis berkenaan dengan jumlah bakteria yang dibawa. (Credit: Explainr dari sciencenewsforstudents.org).

Keputusan yang diperolehi agak menarik. Berdasarkan graf yang anda boleh lihat dibawah, ia menunjukkan bahawa bakteria sudah pun memasuki makanan dengan sekelip mata setelah makanan tersebut membuat kontak dengan lantai. Yang hairanya, berbanding koloni bakteria yang tumbuh dalam bologna untuk peraturan 5 saat, jumlahnya lebih tinggi berbanding bologna yang diambil selepas 50 saat ia jatuh ke lantai. Namun, data ini tidak mencukupi untuk mengesahkan hipotesis sebentar tadi.

Carta ini menunjukkan hasil dari keenam-enam kumpulan. Palang putih adalah tanah jajahan yang dihitung pada hari pertama. Biru muda adalah koloni pada hari kedua, dan biru tua adalah koloni pada hari ketiga. (Credit: B. Brookshire/SNS).

Statistik lain perlu dirujuk untuk membuat konklusi yang tepat. Untuk hal yang demikian, pengkaji-pengkaji tersebut juga telah membuat satu lagi graf yang membentangkan data merangkumi kesemua kumpulan pada masa yang sama. Jika diteliti dalam gambar rajah di bawah, jumlah koloni untuk hampir setiap bologna adalah sangat tinggi iaitu dalam purata lebih daripada 20 koloni termasuklah bologna yang telah dikultur. Walaupun lantai yang bersih tapi tetap boleh memindah bakteria yang sungguh banyak!

Ini menunjukkan bahawa setiap lantai yang berbeza semestinya akan membawa jumlah koloni bakteria yang berbeza. Tidak kisahlah sama ada lantai itu telah dicuci, dalam masa beberapa minit sahaja permukaan lantai tersebut akan dijajah oleh organisma yang kecil ini. Cuma kebanyakkan daripada mereka tidak membawa penyakit serius.

Carta ini menunjukkan berapa banyak koloni yang tumbuh pada hari ketiga dalam setiap kumpulan. Kumpulan tetap dan bologna yang tidak pernah jatuh masing-masing berwarna berwarna putih dan kelabu. Data lantai bersih berwarna biru, dan data lantai kotor berwarna merah. (Credit: B. Brookshire/SNS).

Jenis makanan dan permukaan juga menentukan berapa banyak bakteria yang dibawa

Tekstur dan bahan makanan juga memberi faktor yang besar terhadap jumlah koloni yang muncul dalam makanan. Satu lagi uji kaji berbeza telah dilaksanakan oleh seorang saintis bernama Robyn Miranda, juga merupakan calon Ph.D dalam sains makanan di Universiti Rutgers bersama penasihatnya. Mereka berdua telah menerbitkan kajian mereka berkaitan dengan hubungan antara jenis makanan berbeza dan juga permukaan yang berlainan.

Permukaan besi keluli, karpet, kayu dan jubin merupakan “kawasan” digunakan bersama makanan yang telah diuji iaitu tembikai,roti, roti dan mentega dan gula-gula gumi. Ringkasan untuk data yang diperolehi boleh rujuk dibawah.

Mereka mendapati jumlah koloni yang muncul adalah paling rendah. Antara sebabnya mungkin datang daripada sifat elektrostatik keasidan gula-gula gumi yang menghalang bakteria untuk masuk ke dalam gula tersebut.

Yang menariknya, makanan yang terjatuh di atas karpet menunjukkan jumlah bakteria yang sedikit berbanding besi keluli. Mereka membuat spekulasi bahawa bakteria mungkin berlindung di bawah bulu karpet jadi tidak dapat untuk melekat ke permukaan makanan.

Secara logiknya, makanan yang basah akan membawa bakteria yang sangat banyak. Jika ia jatuh ke lantai. Ini dibuktikan berdasarkan tembikai yang membawa jumlah bakteria paling tinggi. Permukaan lembap merupakan syurga bagi pelbagai jenis mikroorganisma untuk membiak.

Apabila kita gabungkan segala info yang dibentangkan tadi, ini membuktikan bahawa peraturan 5 saat itu tidak boleh digunakan dengan sepenuhnya.

Saya ulangi, DENGAN SEPENUHNYA. Kerana tidak semua yang membawa penyakit dan sistem pencernaan badan kita juga berupaya menghapuskan mana-mana kuman yang ada.Tetapi, mengikut satu hadis daripada Imam An-Nawawi (boleh rujuk di sini) dengan beliau berkata

Hadis menyiratkan bahawa disyorkan untuk memakan makanan yang jatuh ke tanah setelah membuang kotoran yang masuk ke dalamnya; ini tentu saja jika ia tidak jatuh di tempat yang tidak bersih. Sekiranya ia jatuh di tempat yang tidak bersih, maka ia juga menjadi tidak suci secara ritual dan mesti dicuci jika boleh; jika tidak, ia harus diberi makan kepada binatang dan tidak dibiarkan untuk syaitan.

Konklusinya, kita boleh mengambil makanan yang jatuh ke lantai tetapi dengan syarat. Asalkan diambil dengan secepat mungkin, ditiup debu-debu dan selagi ia tidak berada di permukaan lantai yang begitu kotor seperti di LUAR RUMAH. Tidak wajib untuk kita terus makan makanan tersebut kerana jika ditakuti mengandungi bakteria berbahaya yang membawa penyakit, tidak digalakkan untuk mengambilnya.


Rujukan:-

  1. Brookshire, B. (2017). The five-second rule: Myth busted?. Retrieved from https://www.sciencenewsforstudents.org/blog/eureka-lab/five-second-rule-myth-busted
  2. Mayer, J. (2019). The Origin Of ‘The Five-Second Rule’. Retrieved 21 May 2021, from https://www.sciencefriday.com/articles/the-origin-of-the-five-second-rule/
  3. Robyn C. Miranda, Donald W. Schaffner Applied and Environmental Microbiology Oct 2016, 82 (21) 6490-6496; DOI: 10.1128/AEM.01838-16
  4. Sitzes, J. (2018). Please Don’t Use the 5-Second Rule When You Drop Food. Retrieved 21 May 2021, from https://www.prevention.com/food-nutrition/a24787763/five-second-rule/
  5. Eating food that fell on floor is good conduct, not an obligation – Islamweb – Fatwas. (2015). Retrieved from https://www.islamweb.net/en/fatwa/273826/eating-food-that-fell-on-floor-is-good-conduct-not-an-obligation

Published by etilluminare

Carbon-derived organism on a big chunk of rock.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started