3 ikan keli pemangsa yang terbesar di dunia

Selagi raksasa sungai masih ada, selagi itu kita dapat menilai bahawa taraf kesihatan sungai berada dalam keadaan baik.

– Anonymous

Cover image modified from hubpages.com (2019).

Oleh Mohd Amirul Faisal

Ramai di antara kita yang begitu gemar untuk makan ikan keli sama ada masakan ikan keli goreng mahupun bersalut sambal. Oleh yang demikian, apabila penulis memberitahu tentang kewujudan spesies ikan keli yang jauh lebih besar berbanding yang dijual di pasar raya, terhadap rakan-rakan mahupun keluarga – soalan pertama yang sering kali ditanya mesti berkaitan dengan masakan jenis apa yang boleh dibuat dengan saiz ikan keli tersebut yang sungguh besar.

Tetapi bagi para pengkaji atau lagi tepat, ahli iktiologi (ichthyology) yang mengkaji ikan semata-mata untuk mendalami ciri-ciri ikan tersebut yang dijumpai di pelbagai jenis ekosistem. Betul. Kajian yang telah pun dijalankan oleh mereka setelah beberapa tahun dahulu sehinggalah sekarang sangat penting untuk memastikan populasi ikan di seluruh dunia tidak merundum dengan mendadak.

Jika anda menganggap ikan keli yang berada di atas pinggan ataupun yang dijual di pasar raya mempunyai saiz yang besar, tiga spesies ikan keli pemangsa yang terbesar di dunia ini mungkin akan mengubah pemikiran anda terhadap dunia ikan keli.

1. Ikan keli Wels ( Silurus glanis ) – bagaikan vakum hidup

Antara ikan keli Wels yang terbesar pernah ditangkap dalam rekod dunia. Gambar ini diambil di sungai Po,Ostiglia,Itali pada tahun 2017. Berat ikan ini bersaiz 2.68 meter dan mempunyai berat mencecah 120 kg dan juga ditangkap oleh pemancing pakar Dino Ferrari. (Sumber dari http://internationalfishingnews.blogspot.com).

Tahukah anda bahawa terdapat kes dimana ikan keli Wels ini menyerang manusia? Berdasarkan laporan yang disebarkan pada tahun 2008 yang lalu dalam muka depan surat khabar di negara Jerman, mengemukan tentang sesuatu yang menyerang kaki beberapa mangsa yang berenang dalam tasik Schlachtense. Mereka juga mengatakan bahawa pada detik tersebut, ia seperti binatang yang berbentuk ular menyentuh kaki mereka sebelum digigit. Namun, binatang itu telah didedahkan sebagai ikan keli Wels.

Ikan keli spesies ini bukan sahaja memiliki saiz yang sungguh besar tetapi juga merupakan antara spesies invasif yang telah pun berkembang sekurang-kurangnya ke 10 negara di seluruh Eropah Barat dan Selatan . Walaupun ia spesies tempatan di kawasan Timur Eropah tetapi dengan “usaha” yang dilakukan oleh pemancing sejak tahun 1970, ia telah pun merebak secara mendadak dan mencetus ancaman terhadap spesies ikan tempatan .

Ikan Keli Wels (Silurus glanis) yang sedang memburu sekumpulan burung merpati di tebing sungai Tarn, Albi, Perancis.

Gabungkan dengan jangka hayatnya yang boleh mencapai sehingga 80 tahun dan juga si betina yang berupaya untuk menghasilkan beratus-ratus ribu telur pada masa yang sama, populasi yang kian meningkat hanya akan menyebabkan situasi menjadi teruk jika tiada langkah drastik yang dilakukan. Seperti yang anda boleh teliti dalam gambar di atas, diet ikan keli Wels terdiri daripada pelbagai jenis haiwan termasuklah ikan lain dan juga burung-burung akuatik.

Mereka juga didapati memakan sesama spesies yang sama. Disebabkan ia tidak mempunyai gigi tajam seperti jerung dan buaya, di sinilah ia menggunakan “kuasa vakum” untuk memburu mangsanya. Ikan keli Wels menelan keseluruhan mangsanya seperti mana ular sawa menelan mangsa sehingga ke dalam perutnya. Mulut yang lebih besar berbanding bahu manusia telah menyebabkan munculnya mitos dan lagenda mengenai ikan keli gergasi menelan keseluruhan badan manusia. Mungkin ada kebenaran di sebaliknya.

2. Ikan keli Piraiba ( Brachyplatystoma filamentosum)

Ikan keli Piraiba yang berjaya ditangkap oleh pemancing Jakub Vagner pada tahun 2010 dalam siri dokumentari Fish Warrior NatGeo TV. Panjang ikan tersebut adalah dalam anggaran 2.4 meter dan mempunyai berat 215 kg.

Sungai Amazon (Brazil,Argentina dan Chile) yang merupakan sungai yang terbesar di dunia sudah semestinya mampu menapung beribu jenis ikan air tawar yang tidak dijumpai di sungai yang lain. Secara spesifiknya, terdapat lebih kurang 3000 jenis spesies ikan air tawar yang telah direkodkan sehingga ke hari ini dan separuh daripada jumlah tersebut sahaja merangkumi ikan keli! Oleh itu, jika anda pergi ke pasar di sana, kebanyakan ikan yang dijual memang terdiri daripada jenis ikan keli.

Walaubagaimanapun, saiz ikan keli Piraiba boleh membesar lebih daripada 2.5 meter dan mempunyai berat mencecah sehingga 200 kg menjadikannya, setakat ini ikan terbesar yang hidup di dalam sungai Amazon. Jika dibandingkan dengan ikan keli yang lain, struktur badan belakang yang bewarna hitam disertai bahagian perutnya yang bewarna putih sedikit berbeza disebabkan oleh bentuk yang menyerupai ikan jerung. Tidak seperti jerung, mulutnya penuh dengan misai yang digunakan untuk tujuan navigasi dan mengesan mangsa dalam air sungai yang keruh.

Perbandingan struktur badan antara ikan keli Piraiba dan ikan jerung Megalodon (Diambil dari Wikipedia dan animalsake.com).

Antara haiwan yang sering diburu oleh ikan keli Piraiba merangkumi pelbagai jenis spesies ikan yang muat di dalam mulutnya yang besar. Tidak juga seperti ikan jerung, giginya berada di atas jalur melengkung yang luas dan jika kita meletakkan tangan di dalam mulutnya, ia seperti mempunyai rasa kertas pasir kasar. Apa-apa ikan yang cuba untuk melepaskan dirinya, gigi ikan Piraiba ini akan mencengkam dengan daya yang sangat kuat sehinggalah mangsa tersebut ditelan secara keseluruhan.

Gigi ikan keli Piraiba. PT= pterygoid tooth plate, EN
=endopterygoid, VT= vomerine teeth. (Sumber: Lundberg et al.,2005).

Namun,berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dilakukan, ikan ini juga memakan haiwan mamalia seperti monyet dan berdasarkan dokumentari River Monsters, mayat manusia dijumpai dalam perut ikan keli tersebut. Dengan sifatnya yang aggresif terutama semasa dikendalikan di atas bot pemancing, sesiapa yang cuba untuk berenang di dalam sungai Amazon dan terserempak dengan ikan keli gergasi ini, boleh dikatakan pengalaman yang agak mengerunkan.

3. Ikan keli Goonch (Bagarius yarrelli) – Giant Devil’s catfish

Antara ikan keli Goonch yang terbesar pernah ditangkap sehingga ke hari ini. Gambar di atas merujuk kepada dokumentari River Monsters dimana ahli biologi dan pemancing ekstrem, Jeremy Wade berjaya menangkap spesimen ini yang mempunyai saiz 2 meter dan beratnya 73 kg. (Sumber: Siri dokumentari River Monsters).

Daripada dua spesies ikan keli yang dibincangkan sebentar tadi, ikan keli Goonch boleh dikatakan jenis ikan keli yang paling unik. Mengapa? Rasanya setakat ini, tiada spesies ikan keli lain yang mengandungi gigi yang tajam seperti yang anda boleh lihat dalam gambar di atas. Walaupun paras rupanya yang mengerunkan, ikan keli Goonch merupakan spesies yang terancam di kawasan habitatnya di India. Faktor terbesar yang menyumbang kepada jumlah populasi yang semakin berkurangan sehingga ke hari ini, tidak lain tidak bukan berpunca daripada aktiviti manusia yang tidak lestari.

Ikan keli Goonch juga memperolehi nama yang pelbagai (sebagai contoh,baghar atau baghair di Bengali dan Bihari) mengikut zon berbeza – dan kebanyakannya boleh dijumpai di kawasan sub benua India dari sungai Indus dan Ganges sehinggalah ke selatan benua tersebut. Ia tinggal di dalam sungai yang mempunyai arus yang kuat dan dalam dan oleh sebab itu, struktur badannya telah beradaptasi untuk menjadi perenang yang kuat dan tangkas. Diet ikan keli ini terdiri daripada ikan yang kecil, ketam dan udang, amfibia seperti katak dan lain-lain.

Ada juga mengatakan bahawa ia juga pemakan manusia. Hal ini disebabkan di negara India, upacara pengebumian yang tidak dilakukan dengan betul telah menyebabkan mayat yang dibakar akan dilepaskan di tebing sungai. Tidak pelik untuk ikan keli Goonch untuk memilih makanan yang ada di depan mata tanpa perlu menggunakan tenaga untuk memburu. Namun,berdasarkan status pemuliharaan IUCN,ikan keli Goonch berada dalam status ‘vulnerable’.

Pembinaan empangan hidoelektrik dan penangkapan ikan yang berlebihan merupakan faktor utama yang mengancam populasi ikan keli tersebut. Apatah lagi, masih banyak lagi yang saintis tidak tahu mengenai berapa jumlah populasi dalam habitatnya dan berapa lama jangka hayatnya menyebabkan proses pemuliharaanya menjadi sangat sukar. Bagi sesiapa yang tidak pernah pergi ke River Safari di Singapura, anda boleh melihat ikan keli Goonch ini yang dipelihara dalam akuarium.

Ikan keli Goonch yang sedang berehat dalam akuarium di Ganges River exhibit, River Safari,SIngapore. (Diambil dari Flickr,2013).

Dan itu lah tiga spesies ikan keli pemangsa yang terbesar di dunia. Setiap daripada mereka memiliki ciri-ciri yang unik dan ada juga yang mempunyai gigi yang tajam. Namun, sejak kebelakangan ini, tidak banyak spesimen besar yang dijumpai.

Selagi aktiviti manusia yang melibatkan pencemaran sungai dan kelestarian yang tidak terkawal berterusan, selagi itu lah kualiti air sungai akan menjadi semakin teruk. Ini kerana ikan-ikan gergasi ini lah yang memastikan ekosistem sungai berada dalam keadaan stabil.


Rujukan:-

  1. Gita Niyogi, D., 2020. Hydropower project on the Indravati puts the iconic bodh fish in danger. [online] Mongabay-India. Available at: <https://india.mongabay.com/2020/10/bodh-fish-the-shark-of-bastar-endangered-by-a-proposed-hydropower-project/&gt;.
  2. Lovgren, S. (2021). Enormous pigeon-eating catfish wreaking havoc on Europe’s ecosystems. National Geographic. Retrieved from https://www.nationalgeographic.co.uk/environment-and-conservation/2021/01/enormous-pigeon-eating-catfish-wreaking-havoc-on-europes.
  3. Lundberg, John & Akama, Alberto & Buth, D.. (2005). Brachyplatystoma capapretum: a New Species of Goliath Catfish from the Amazon Basin, with a Reclassification of Allied Catfishes (Siluriformes: Pimelodidae). Copeia. 2005. 492-516. 10.1643/CI-04-036R1.
  4. Wade, J. (2012). River Monsters (1st ed., pp. 137-148). London: Phoenix.

Published by etilluminare

Carbon-derived organism on a big chunk of rock.

Leave a comment

Design a site like this with WordPress.com
Get started